Monday 19 March 2012

Apakah Tema-tema PSK?

Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan merupakan mata pelajaran yang memainkan peranan penting dalam kurikulum kebangsaan sekolah bagi melahirkan murid yang dapat menunjukkan perasaan bangga dan cinta akan negara. 

Mata pelajaran ini memberi tumpuan kepada perkembangan diri, hubungan dengan orang lain dan interaksi dengan persekitaran. Mata pelajaran ini juga adalah wahana bagi mewujudkan semangat perpaduan dan apresiasi pelbagai budaya masyarakat negara ini. Kandungan mata pelajaran ini membolehkan murid memperoleh pengetahuan, kemahiran dan nilai sivik bagi menghadapi cabaran masa depan.

Untuk pengetahuan pembaca, pernyataan-pernyataan itu merupakan sebahgian daripada intipati yang terkandung di dalam Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan yang dikeluarkan oleh Kementeriaan Pelajaran.

Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan memberi penekanan terhadap penguasaan pengetahuan, kemahiran dan nilai sivik supaya murid menjadi warganegara yang bertanggungjawab. Kandungan ini disampaikan menerusi enam tema seperti berikut:

1. Sayangi Diri

2. Sayangi Keluarga

3. Hidup Bersama di Sekolah dan Masyarakat

4. Kenali Budaya Malaysia

5. Malaysia Negaraku

6. Sedia Hadapi Cabaran

Tema-tema ini tidak semestinya diajar secara urutan dan guru boleh menyesuaikan tema ini dengan peristiwa atau isu semasa yang berlaku sama ada dalam sekolah, masyarakat atau di peringkat negara. Misalnya, tema Malaysia Negaraku boleh diajar dalam konteks sambutan Bulan Kemerdekaan agar murid dapat memahami peranan dan tanggungjawabnya sebagai warganegara Malaysia.

No comments:

Post a Comment